Hai Mummiez! Siapa yang ada pengalaman bayi tumbuh gigi? Kebiasaannya, gigi pertama si kecil akan muncul seawal usia 6 bulan hingga setahun. Fasa ini boleh jadi sangat mencabar kerana si kecil akan merengek dan meragam disebabkan ketidakselesaan yang dirasai.
Ada beberapa tanda bayi tumbuh gigi, antaranya:
- Gusi sakit/lembut.
- Air liur meleleh.
- Sering meragam tanpa sebab.
- Demam ringan / dedar.
- Gemar mengunyah
- Cirit-birit
Berikut adalah beberapa tips yang Mummiez boleh cuba untuk beri kelegaan dan rasa tidak selesa pada gusi yang dialami si manja.
1. Urutan gusi
Sedikit tekanan pada gusi boleh membantu mengurangkan kesakitan. Urutkan gusi si kecil perlahan-lahan dengan jari. Ini dapat membantu si kecil rasa sedikit lega. Jangan lupa cuci tangan dengan bersih sebelum melakukan urutan ya!
2. Hasilkan ais krim susu
Ada beberapa kes di mana si kecil tidak mahu makan atau menyusu kerana rasa tidak selesa yang dialami semasa proses tumbuh gigi. Gunakan bekas ais krim bebas BPA dan isikan dengan susu. Beri si kecil ais krim tersebut supaya kesejukan ais krim itu dapat meredakan ketidakselesaan gusi mereka.
3. Sejukkan buah
Mummiez juga boleh cuba bekukan/sejukkan potongan buah jenis lembut untuk si kecil hisap. Cara ini dapat memberi kelegaan kepada gusi yang sedang membengkak itu. Mummiez boleh cuba buah pisang, strawberi atau mangga yang telah dipotong, disejukkan dan dimasukkan ke dalam mesh feeder.
Semoga tips-tips di atas dapat membantu Mummiez!