Beberapa hari sahaja lagi, kita akan menyambut cuti panjang sempena Tahun Baru Cina dan pastinya ramai yang akan mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman.
Selain baju baru, wang dan kuih untuk yang tersayang, mereka yang mahu pulang ke kampung halaman perlulah mengutamakan soal keselamatan diri dan kenderaan.
Ini kerana, suka atau tidak, musim perayaan sering dikaitkan dengan insiden kemalangan jalan raya.
Terbabas, memasuki laluan bertentangan, cuba memotong kenderaan lain, menukar lorong, cuai semasa keluar atau masuk simpang, tidak sedar atau nampak kenderaan lain, mengekori rapat kenderaan lain, membuat pusingan ‘U’, melawan aliran trafik, leka, letih dan mengantuk adalah antara punca kemalangan sehingga meragut nyawa.
Melihat laporan berita mengenai keluarga meratapi pemergian insan tersayang akibat kemalangan semasa musim perayaan membuatkan ramai turut merasai kesedihannya.
Perjalanan pulang ke kampung dengan jarak yang jauh boleh mengundang rasa letih dan mengantuk yang sangat tinggi seterusnya menyebabkan pemandu berasa letih dan kemungkinan terlelap seketika semasa sedang memandu.
Oleh itu, pastikan pemandu mendapat rehat yang cukup dan berada dalam keadaan bersedia untuk melakukan perjalanan jarak jauh, dan sentiasalah mengamalkan pemanduan secara berhemah di samping sifat sabar yang tinggi ketika musim perayaan ini kerana satu saat yang melalaikan pasti akan membawa padah.
Janganlah kerana perbuatan kita menyebabkan orang lain atau kita sendiri menerima akibat buruk dan ditimpa musibah. Memandu pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan, kuncinya adalah sabar.
Selamat bercuti semua!