Berfikiran secara kritikal adalah kemampuan untuk berfikir secara rasional dan dapat mentafsir dengan tepat dalam menganalisis informasi, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan dalam kehidupan atau kegiatan harian. Mereka yang mempunyai fikiran kritikal akan dapat membuat penilaian yang baik dalam persekitaran, data, fakta dan objek tertentu.
Ada beberapa cara yang dapat dilakukan untuk mendidik anak agar berfikir sebelum melakukan sesuatu perbuatan.
Dorong anak untuk lebih banyak bertanya. Bertanya adalah kunci segala sesuatu yang wujud di dunia. Sesuatu perkara itu dapat terhasil kerana sebuah pertanyaan. Dorong anak untuk selalu bertanya akan segala hal, mulai daripada hal yang remeh-temeh. Hal ini akan membuatkan anak mampu berpikir secara kritikal ke depannya.
Kurangkan memberi jawapan secara langsung. Bila anak sudah banyak bertanya sesuatu kepada ibu bapa, usahakan untuk tidak terus memberikan jawapannya. Hal ini kerana, anak akan merasa cepat puas dan mengharapkan orang lain untuk memberikan jawapan kepada persoalan mereka.
Dorong anak rajin mencari referensi sendiri. Bantu anak untuk cuba mencari jawapan mereka melalui bertanya kepada yang lebih pakar atau ajar mereka untuk bereksperimen untuk setiap persoalan mereka.
Beri anak pertanyaan terbuka di mana jawapannya boleh pelbagai mengikut pandangan seseorang itu. Terangkan kepada anak setiap orang mempunyai pandangan yang tersendiri dan setiap pandangan itu tiada yang salah malah ia menunjukkan setiap manusia berfikir dengan cara yang berbeza.
Mendidik anak untuk berfikiran secara kritikal bermula daripada mereka mula faham percakapan orang dewasa lagi. Mula terangkan pada mereka agar mereka lebih mudah faham dan dapat adaptasi pada kehidupan sebenar apabila mereka dewasa nanti.