TIPS IBU & BAYI
5 TIPS UNTUK IBU BERPANTANG
PUBLISHED BY MAMZ 23/1/2024
Buat para ibu yang berada dalam zaman moden ini, isu berpantang selepas bersalin merupakan salah satu isu yang pastinya menimbulkan dilema dalam diri. Sama ada mahu mengamalkan petua berpantang orang zaman dahulu atau berpantang mengikut nasihat pakar perubatan masa kini? Seiring dengan gaya hidup zaman sains dan teknologi masa kini, kemajuan sains perubatan sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Namun begitu, gabungan ilmu berpantang secara tradisional mempunyai kaitan dengan ilmu perubatan sains.
Dr. Rusyainie Ramli yang merupakan seorang doktor perubatan, telah berkongsi tentang tips-tips berpantang selepas bersalin untuk ibu moden melalui akaun Facebook beliau.
TIPS 1 : MINUM AIR SECUKUPNYA
Ibu-ibu yang berpantang memerlukan air yang secukupnya iaitu 2 hingga 3 liter sehari. Ianya penting bagi penghasilan susu ibu yang banyak kerana susu ibu mempunyai komponen air yang tinggi. Selain itu, minum air yang mencukupi dapat mengatasi masalah sembelit.
TIPS 2 : MAKAN MAKANAN YANG BERKHASIAT BAGUS UNTUK BERPANTANG SELEPAS BERSALIN
Ibu yang berpantang selepas bersalin memerlukan zat nutrisi daripada makanan yang berkhasiat. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar pengambilan makanan yang terbaik adalah mengikut sukatan ini – suku pinggan karbohidrat, suku pinggan protein, separuh pinggan adalah sayur dan buah.
Ikan, ayam, daging dan telur mengandungi protein yang tinggi dan amat diperlukan untuk pembaikan tisu-tisu badan.
Sayur-sayuran dan buah-buahan pula mengandungi serat untuk mengelakkan sembelit. Selain itu, untuk menggantikan darah yang hilang selepas bersalin serta mempercepatkan penyembuhan luka, vitamin-vitamin seperti Vitamin A, B1, B2 dan B6, dan C, asid folik, zat besi dan garam galian (seperti kalium) yang terkandung dalam sayur-sayuran dan buah-buahan dapat membantu.
Namun, sekiranya para ibu mempunyai alahan terhadap makanan tertentu atau sistem penghadaman tidak sesuai dengan sesetengah makanan, makanan-makanan tersebut perlu dielakkan.
TIPS 3 : KEKAL AKTIF SEMASA BERPANTANG
Selepas bersalin, para ibu tidak seharusnya bermalas-malasan ketika berpantang. Ibu berpantang perlu bergerak mengikut daya kemampuan masing-masing. Petua orang dahulu meminta ibu berpantang tidur atau berbaring sahaja semasa berpantang mungkin sudah tidak relevan pada masa ini kerana zaman kita berbeza. Teknologi masa kini banyak memudahkan kehidupan seharian kita.
Melakukan kerja rumah merupakan salah satu cara untuk ibu-ibu kekal aktif semasa berpantang. Ianya bertujuan untuk mengelakkan darah beku pada kaki kerana jika darah beku itu bergerak ke paru-paru, ianya boleh membahayakan para ibu dan boleh membawa maut.
Walau bagaiamanapun, usah lakukan kerja rumah sehingga mendera dan membahayakan diri sendiri, lakukan secara sederhana dan sekadar termampu sahaja.
TIPS 4 : BERTUNGKU SECARA SEDERHANA
Bertungku selepas bersalin adalah dibolehkan selagi mana tidak berlebihan. Jangan ditungku pada bahagian luka disebabkan pembedahan Caesarean atau luka episiotomi.
Dari segi sains, apabila kita bertungku, haba dari batu tungku akan menyebabkan saluran darah di kulit pada bahagian yang diletakkan batu tungku itu akan mengembang. Peredaran darah akan bertambah baik apabila salur darah tadi berkembang sedikit daripada yang asal. Dengan itu :
Nutrisi dan oksigen yang ada dalam darah akan pergi ke bahagian yang ditungku.
- Melegakan rasa sakit dan lenguh di otot terbabit.
- Meningkatkan fleksibiliti otot.
- Membantu menyahkan bahan buangan apabila darah mengalir dengan baik.
Perlu diingat, batu tungku tidak boleh diletakkan lebih daripada 30 minit pada satu-satu tempat kerana dikhuatiri saluran darah itu akan mengecut.
Selain daripada batu tungku, ibu-ibu boleh menggunakan alternatif lain seperti pek berhaba untuk membantu mencapai objektif yang sama seperti bertungku. Walau bagaimanapun, tidak mengapa jika ibu-ibu tidak bertungku semasa berpantang kerana ianya bukan perkara yang salah dan para ibu tidak sepatutnya dipersalahkan.
TIPS 5 : SEGERA KE HOSPITAL JIKA ALAMI MASALAH KESIHATAN
Jika ibu berpantang selepas bersalin mengalami sebarang masalah kesihatan atau kemusykilan tentang diri sendiri mahupun bayi, maklumkan kepada jururawat yang datang melawat para ibu di rumah. Ibu-ibu seharusnya pergi ke klinik atau hospital jika perlu.
Antara simptom-simptom merbahaya buat para ibu selepas bersalin adalah :-
- Demam melebihi 38°C.
- Sakit kepala yang teruk diiringi dengan mata kabur, muntah dan kaki bengkak.
- Darah nifas yang keluar begitu banyak secara tiba-tiba. Ditambah dengan pening kepala atau denyutan nadi yang laju.
- Sakit dada dan sukar bernafas secara tiba-tiba. Ditambah pula jika ibu turut mengalami batuk darah dan pening kepala.
Dalam keadaan seperti yang dinyatakan di atas ini, para ibu perlu segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan daripada mereka yang lebih pakar.
Buat ibu – ibu biasakan yang betulkan dan betulkan yang biasa. Yang penting, ibu – ibu perlu menikmati fasa – fasa berpantang. Buat ibu, ibu yang ingin tambahkan tenaga badan semasa berpantang, bolehlah cuba amalkan Momiz. Klik je link dekat bawah untuk info tentang Momiz…
MOMIZ