loader image

8 CABARAN MENYUSU BAYI INI BUKTIKAN ANDA SEORANG WANITA KENTAL

“Selama ini aku ingatkan menyusu badan taklah susah sangat. Ingatkan boleh ikut saja macam-macam tips menyusu bayi dari majalah dan internet. Tapi, sekarang dah melaluinya baru aku tahu betapa mencabarnya nak susukan anak sampai 2 tahun. Nak fahamkan suami sendiri pun susah…”

Bagi ibu-ibu yang menyusu badan, tentu pengalaman menyusu bayi memberi 1001 kenangan yang terpahat dalam jiwa. Ternyata, ia penuh dengan suka duka dan pelbagai permainan emosi yang banyak mengajar kita.

Ada yang ingat menyusu badan ini bukanlah sesusah mana. “Setakat hulurkan payudara pada bayi, apa pula yang susahnya? “, kata mereka. Tak ramai yang faham tentang selok-belok kehidupan ibu menyusu ini secara keseluruhannya.

8 CABARAN MENYUSU BAYI YANG RAMAI TAK FAHAM

Berikut adalah cabaran menyusu bayi yang anda patut tahu, terutamanya suami-suami dan bakal ayah.

1. TIADA LAGI ‘BEAUTY SLEEP’

Orang selalu kata, kalau nak awet muda, tidurlah 6-8 jam setiap hari. Lepas ada anak yang menyusu badan, ramai wanita terpaksa ucapkan selamat tinggal pada waktu tidur mereka.

Bermula dari hari pertama kelahiran, bermulalah rutin mereka bangun setiap 2 jam di tengah malam untuk menyusu bayi, mengepam susu, dan kadangkala mendodoikan anak yang tak dapat tidur. Kalau ada suami yang menghargai, mereka akan cuba bangun tanyakan sama ada kita OK, dan ada masanya bergilir tengokkan anak. Tapi, ada juga yang tak sedar langsung, boleh makin kuat pula dengkurnya.

2. ANAK SUKA ‘MENGEMPENG’

Anak yang menyusu badan, terutamanya yang belum pandai minum susu perahan melalui botol, mereka ini biasanya amat rapat dengan ibu. Asyik nak ‘mengempeng’ dan melekat saja pada ibu.

Sudahlah tak mahu dengan orang lain, dengan bapa sendiri pun tak mahu juga! Betapa lenguhnya badan si ibu bila asyik menyusukan dan memegang mereka. Satu kerja pun tak dapat buat.

3. SAKIT PAYUDARA

Mustahil dalam tempoh 2 tahun menyusu badan, sekali pun tak kena bengkak, puting melecet, atau luka. Ini adalah lumrah yang perlu kita ‘standby’ siap-siap. Lebih-lebih lagi kalau anak dah mula tumbuh gigi.

Kalau tiba-tiba kita menjerit semasa menyusu badan, faham-fahamlah mengapa. Berdesing sakitnya!

4. KELAPARAN

Kita selalu dengar orang cakap kalau menyusu badan senang kurus, boleh bakar lemak dan sebagainya. Secara saintifiknya ia memang betul.

Tapi, percayalah menyusu badan ini boleh buat sesetengah wanita berasa lapar sepanjang masa. Makanan bayi pun boleh nampak berselera. Seeloknya makanlah buah atau snek sihat. Tapi, kalau ada anak kecil memang mencabarlah sebab nak kupas buah pun rasa macam tak sempat.

5. GIGIH IKUT JADUAL MENGEPAM

Apabila dah mula bekerja, kenalah atur jadual mengepam yang rutin untuk memastikan susu ibu sentiasa cukup. Kalau tak pam, mulalah rasa bengkak dan sakit. Malah, mungkin akan bocor dan basah habis pakaian.

Kalau majikan jenis memahami, syukurlah. Bukan apa, bengkak susu ini bukannya boleh dibuat main. Kalau tak kena cara, boleh demam dibuatnya. Memang sakit dan berdenyut-denyut rasa.

6. BEG DAH ‘BERANAK’

Sekali nak pergi kerja atau travel, beg bukan main banyak barang kena sumbat. Tak ada maknanya nak bergaya pakai ‘handbag’ cantik-cantik atau comel macam dulu.

Segala breastpump, storage bag, storage bottle, storage bag, ice pack, nursing cover,nursing bra, nursing wear dan macam-macam nak kena angkut. Kalau pagi-pagi nak hantar anak dan bawa semua kelengkapan ini, memang tak dapatlah kalau sekali ‘trip’ saja.

7. PANTANG MAKANAN ‘FAVOURITE’

Kita ingatkan lepas berpantang dah bolehlah makan makanan ‘favourite’ kita. Minum kopi, durian, dan sebagainya.

Tapi, ibu menyusu sebenarnya masih perlu berjaga-jaga (walaupun bukan semua) kerana ada bayi yang amat sensitif terhadap apa yang dimakan oleh ibu. Teringin macam mana pun, terpaksa tahan kemahuan kerana takut anak tak sedap perut dan cirit-birit.

8. KENA KECAM

Sepanjang menyusu bayi juga, ada banyak masa kita kena kuatkan hati, pekakkan telinga, dan zipkan mulut. Ramai orang sekeliling yang ada pendapat mereka masing-masing. Tak kurang juga yang nak beri nasihat atau tips kerana kasihan melihat kita.

Mungkin mereka berniat baik, tapi kebanyakan mereka ini tidak mengambil tahu pun tentang keadaan kita dan terlalu cepat membuat kecaman.

MENYUSU BADAN ADALAH KOMITMEN YANG SERIUS

Ternyata, menyusu badan bukanlah suatu tugas yang mudah seperti sesetengah orang sangkakan. Maka, tidak hairanlah ada syarikat tertentu dan negara-negara maju menawarkan pekerja mereka cuti bersalin lebih lama daripada kebiasaannya.

Ini kerana, komitmen yang diperlukan oleh seorang ibu untuk menyusukan anaknya adalah amat besar. Malah, ia juga boleh menjejaskan emosi serta kesihatan fizikal wanita, terutamanya yang masih dalam pantang.

Jadi, berbanggalah jika anda masih bertahan hingga ke hari ini. Percayalah semua kesusahan yang anda lalui ada hikmahnya dan setiap cebis pengorbanan anda juga dinilai oleh Tuhan. Sekalipun ada wanita yang tidak mampu meneruskannya, setidak-tidaknya mereka telah mencuba sehabis baik dan tidak wajar dikecam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *