Bila anak tak sihat, kita sebagai ibu ayah pasti susah hati. Biasanya kita akan suruh anak berehat supaya cepat sihat. Sebenarnya ada juga anak yang agak cergas walaupun tidak begitu sihat.
Walaupun batuk-batuk atau selesema, badan dedar sedikit seperti nak demam tapi masih aktif. Melompat dan berlari ke sana sini. Ibu ayah pun tegah sebab tak mahu sakitnya melarat. Ikuti penerangan dari Dr Ahmad Luqman Bukhari tentang hal ini.
“Adik, awak tu kan tengah batuk-batuk. Duduklah diam diam.”
Kadang kadang saya perhatikan ada sebahagian parent yang tak bagi anak bergerak langsung waktu tak sihat.
Suruh rehat saja. Sampai naik monyok muka budak tu. Agaknya mak ayah pun susah hati, takut makin melarat.
Cuma sebenarnya bila saya belajar daripada physiotherapist, baru saya tahu untuk anak anak yang batuk, kalau dia orang aktif bermain, berlari, melompat, itu sebenarnya sangat bagus untuk bantu mereka keluarkan kahak.
- Masa anak aktif buat aktiviti lasak macam tu, paru-paru akan mengembang dan lebih banyak udara dapat masuk. Itulah nanti akan bantu push kahak keluar.
- Boleh jugak berikan mainan macam party blower, tak pun bubble. Kita boleh lihat masa nak tiup tu mereka akan tarik nafas dalam dalam. Secara automatik paru-paru akan mengembang sama.
- Paling penting, seronok bermain tu amat berguna untuk alihkan perhatian anak dari rasa tak selesa. Tak adalah nanti selalu sangat dia merengek.
Kurang sikit rasa risau mak ayah tadi.
Jadi tak salah sebenarnya nak galakkan anak anak terus aktif bermain jika mereka larat. Tapi sekiranya memang budak tu dah tak sedap badan, nampak lembik dan lesu je, tak usah lah paksa ya.
Dan jika perlu, dapatkanlah bantuan daripada fasiliti kesihatan.
Diharapkan dengan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu ibu ayah untuk mengendalikan anak-anak yang sedang tak sihat. Selagi mereka aktif dan tidak mengadu yang mereka sakit sehingga ‘lembik’, tiada apa yang perlu dirisaukan. Walaupun begitu, jika ada rasa ragu-ragu segeralah berjumpa dengan doktor.
Semoga bermanfaat!