Betik adalah antara buah yang paling senang didapati di Malaysia. Rasanya yang manis memang cukup digemari semua, termasuklah bayi dan kanak-kanak.
Sebenarnya ada banyak khasiat betik yang menjadikannya salah satu makanan pertama yang baik untuk bayi.
5 KHASIAT BETIK UNTUK BAYI & KANAK-KANAK
Berikut adalah khasiat betik untuk bayi dan kanak-kanak
1. MELANCARKAN PENGHADAMAN
Buah betik mengandungi sejenis enzim papain yang efektif memecahkan struktur makanan kompleks. Pernah dengar tak petua chef-chef atau tukang masak menggunakan betik untuk melembutkan daging? Inilah sebabnya!
Jadi, dengan memakan betik, dapatlah kurangkan rasa tak selesa perut, kembung dan sebagainya sebab sistem pencernaan akan menjadi lebih lancar secara semulajadi.
2. MELEGAKAN SEMBELIT
Antara fungsi betik untuk bayi dan kanak-kanak yang paling diketahui ramai adalah sebagai pelawas. Anak-anak kecil memang sinonim dengan masalah sembelit. Ia juga tergolong dalam salah satu masalah pencernaan.
Buah betik kaya dengan serat dan laxative semulajadi yang membantu meregulasikan pembuangan air besar pada bayi dan kanak-kanak. Memang mujarab dan biasanya dah tak perlu lagi makan ubat!
3. MENINGKATKAN KEKEBALAN TUBUH
Sistem imuniti bayi dan kanak-kanak masih berkembang dan oleh itu mereka lebih cenderung terdedah kepada jangkitan.
Namun, pengambilan makanan yang tinggi vitamin C sedikit sebanyak dapat membantu menguatkan sistem imuniti dan daya kekebalan tubuh.
Tahukah anda, betik adalah antara buah yang paling tinggi Vitamin C?
4. MENYEMBUH & MELINDUNGI KULIT
Buah betik juga kaya dengan Vitamin A, di mana ia membantu melindungi kulit.
Tak hairanlah kulit betik atau isinya digunakan sejak turun-temurun untuk mencantikkan atau mengurangkan masalah kulit. Malah, sesetengah krim kosmetik juga menggunakan bahan ini dalam formulasi mereka.
5. ANTI OKSIDA & ANTI KANSER
Kajian menunjukkan kandungan anti oksida pada betik membantu meneutralkan radikal bebas dalam tubuh. Ia juga bersifat anti kanser.
AMBIL SECARA SEDERHANA
Buah betik boleh dipuri atau diberi sebagai finger food kepada bayi dan kanak-kanak yang lebih besar. Ternyata, ianya adalah snek yang sihat untuk dinikmati sekeluarga.
Apapun, penting untuk ibu ayah faham bahawa apa-apa makanan adalah terbaik jika diambil secara sederhana. Bagi bayi terutamanya, berilah dalam kuantiti yang sedikit dahulu untuk memastikan mereka tidak alah terhadapnya.
Seperkara lagi, elakkan memberi buah betik yang tidak masak kerana ia boleh menyebabkan sakit perut pada bayi dan kanak-kanak.