loader image

Cara Memilih Taska Anak Dengan Betul

Banyak peristiwa anak di dera ketika berada di taska sejak dahulu lagi. Semalam baru terjadi satu kes seorang guru taska menghempas kepala seorang bayi sehingga tiada tangisan yang didengari. Kes ini membuka mata masyarakat untuk lebih berhati-hati dalam memilih taska yang sesuai untuk anda.

Mari kami kongsikan bagaimana untuk memilih taska agar keselamatan anak anda terjamin.

1. Pastikan pilih taska yang telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Taska yang berdaftar dengan JKM telah pun dipastikan keselamatannya kerana setiap taska itu perlu mematuhi standard minimum yang di keluarkan oleh JKM. Selain itu, taska juga perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

2. Cari pengusaha atau guru taska yang mempunyai latar belakang di dalam pendidikan awal kanak-kanak

Hal ini kerana, mereka yang mempunyai pendidikan awal kanak-kanak lebih memahami bagaimana cara untuk mendidik kanak-kanak. Mereka juga telah belajar untuk mendalami perasaan kanak-kanak dan mengetahui taraf pendidikan kanak-kanak yang perlu mereka kuasai.

3. Melawat keadaan taska

Penting untuk ibu bapa masuk ke dalam taska dan melihat di mana tempat anak-anak akan bermain, tidur, makan dan belajar. Dengan melawat sekeliling kawasan taska, ibu bapa akan mendapat gambaran bagaimana pergerakan anak di dalam taskan. Perhatikan juga perabot atau kedudukan barang yang berbahaya. Sekiranya susunan taska itu tidak teratur, lebih baik ibu bapa mencari tempat yang lebih sistematik.

4. Bertanya kepada ibu bapa yang menghantar anak di taska tersebut

Ibu bapa baharu yang ingin menghantar anak ke taska tersebut boleh berjumpa dengan ibu bapa anak-anak yang lain dan bertanya bagaimana keadaan anak mereka sepanjang duduk di taska tersebut. Tanyakan juga adakah anak mereka sering sakit atau kelihatan tidak terurus apabila dihantar ke taska tersebut.

5. Perkara yang paling penting adalah lihat emosi anak selepas seminggu duduk di taska baharu

Kanak-kanak sangat sukar untuk bertukar kepada situasi baharu. Oleh itu, sangat mudah untuk mengetahui bahawa taska tersebut sesuai dengan anak ataupun tidak. Sekiranya anak anda pulang dengan wajah yang gembira dan bercerita tentang hari mereka, bermakna taska tersebut sesuai dengan anak anda. Perhatikan ‘red flag’ yang terdapat pada anak seperti lebam ketika pulang taska, mood anak tidak baik atau anak menceritakan perkara yang tidak baik tentang taska tersebut. Sekiranya terdapat tanda-tanda ‘red flag’ segera berjumpa dengan pihak taska dan dapatkan penjelasan yang sepatutnya.

Semoga perkongsian kali ini dapat menyelamatkan anak anda daripada di hantar ke taska yang salah. Bersama kita berusaha untuk menjadikan setiap taska adalah selamat untuk anak-anak.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *