Terdapat segelintir ibu bapa yang tidak percaya dengan vaksin kerana risau melihat anak demam selepas menerima vaksin pertama. Sebenarnya, demam bayi selepas vaksin membuktikan bahawa antibodi bayi anda sedang dibina dan sedang melawan virus lemah di dalam vaksin tersebut. Hal ini membantu badan anak untuk mengenali virus tersebut pada masa akan datang dan tahu bagaimana untuk melawan virus tersebut.
Vaksin yang diberikan kepada bayi sebenarnya boleh memberikan perlindungan terhadap 13 jangkitan, termasuk Tuberkulosis (TB), Hepatitis B, difteria, tetanus (kancing gigi), batuk kokol, polio, campak, beguk dan rubella serta yang terkini bermula tahun 2020 penambahan imunisasi kanak-kanak adalah pneumonia (radang paru-paru)
Penyakit berjangkit kebiasaannya disebarkan secara langsung daripada seorang ke seorang. Namun apabila peratusan mereka yang mendapat vaksinasi tinggi, penyakit-penyakit berjangkit ini akan menjadi sukar untuk merebak dan ia dapat dibendung.
Sebagai contoh, seorang penghidap measles yang dikelilingi oleh orang-orang yang telah menerima vaksin measles, penyakit ini tidak boleh disebarkan dengan mudah kepada sesiapa sahaja. Oleh yang demikian, penyakit ini akan cepat hilang dan wabak tidak berlaku. Ia adalah kesan herd immunity atau imuniti kelompok. Ia memberi perlindungan kepada orang-orang yang mempunyai risiko tinggi mendapat penyakit berjangkit apabila terdedah, tetapi tidak sesuai diberi imunisasi.
Keraguan dan penolakan vaksin merupakan masalah utama yang berlaku di Malaysia, malahan ianya dianggap sebagai fenomena global. Malangnya semasa kes kita masih rendah, golongan anti vaksin ketika itu sangat lantang dan aktif menyebarkan berita palsu mengenai vaksin.
Percayalah, kredibiliti NPRA Malaysia, satu-satunya agensi di dunia yang sangat tegas dalam penilaian telah memastikan ke tiga tiga faktor, iaitu keselamatan, kualiti dan keberkesanan mesti dipenuhi.
Mari kita ambil vaksin lengkap untuk keselamatan anak-anak dan juga orang sekeliling.
Sumber: UPM Care