loader image

Boleh Banyakkan Susu Badan, Ini 6 Khasiat Barli Untuk Ibu Mengandung & Menyusu

Kalau cakap pasal barli, mesti ramai dah terbayang air barli. Memang sedap kan?

Selain dijadikan minuman, barli juga biasa dibuat bubur atau sup, terutamanya ketika demam.

Air barli merupakan salah satu minuman yang amat berkhasiat untuk diamalkan oleh ibu kerana ia kaya dengan pelbagai nutrien penting.

Barli mengandungi sumber serat, vitamin, kalsium, zat besi, mangan, magnesium, anti-oksidan dan macam-macam lagi!

6 KHASIAT BARLI UNTUK IBU MENGANDUNG & MENYUSU
Berikut adalah antara khasiat barli untuk ibu mengandung dan menyusu.

1. MILK BOOSTER SEMULAJADI
Menurut LiveStrong.com, barli tergolong sebagai salah satu makanan laktogenik, iaitu kategori makanan yang boleh menggalakkan penghasilan susu badan.

Seperti oat, barli telah diamalkan sejak berkurun lamanya sebagai milk booster semulajadi yang berkhasiat tinggi untuk ibu menyusu.

2. MEMBANTU MELANCARKAN PENCERNAAN
Oleh kerana barli kaya dengan serat, pengambilannya dapat membantu melancarkan sistem pencernaan, sekaligus mengelakkan sembelit atau buasir yang sering menjadi masalah terutamanya ketika hamil.

3. MENGANDUNGI ASID FOLIK
Seperti kita tahu, asid folik amat penting bagi ibu mengandung bagi mengelakkan komplikasi neural tube defect pada kandungan.

Berdasarkan sebuah artikel dalam MomJunction.com, air barli atau sup barli boleh menjadi sumber asid folik tambahan dalam diet semulajadi ibu kerana dalam 100g barli mengandungi 200mcg asid folik.

Tapi kalau dah makan barli, jangan pula tak makan vitamin yang dibekalkan oleh doktor tau. Penting tu!

4. MENGURANGKAN TAHAP GULA DALAM DARAH
Kajian yang dilaporkan oleh Medical News Today menunjukkan makanan berasaskan barli membantu menurunkan kadar gula dalam darah sehingga 11-14 jam setelah pengambilannya.

Pengawalan kadar gula dalam darah amat penting semasa mengandung untuk mengelakkan risiko kencing manis semasa mengandung atau GDM (Gestational Diabetes Mellitus).

Pengambilan barli juga dikatakan dapat membantu mengawal kadar gula bagi ibu yang mengalami diabetes Type 2 ini kerana barli tergolong dalam makanan yang rendah kadar indeks glisemik (GI).

5. MEMBANTU MENGAWAL BERAT BADAN
Ramai ibu mengalami masalah berat badan yang mencanak naik ketika mengandung kan? Maklumlah, selera bertambah, terasa lapar je selalu.

Menariknya, barli menggalakkan tubuh menghasilkan hormon yang meregulasikan selera makan dengan membantu seseorang berasa kenyang dengan lebih lama.

Hormon ini juga dapat meningkatkan metabolisme yang membantu mengawal berat badan pada kadar optimum.

6. MENINGKATKAN KESIHATAN JANTUNG
Serat boleh larut yang terkandung dalam barli juga didapati dapat menurunkan kadar kolesterol, sekaligus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular iaitu yang berkaitan dengan kesihatan jantung.

CARA BUAT AIR BARLI
Cara buat air barli ni tak susah pun. Lagi elok kalau kita buat sendiri di rumah sebab biasanya yang dibeli di kedai makan atau yang segera telah ditambah dengan banyak gula.

Caranya mudah saja.

Mula-mula ambil secawan bijirin barli dan basuhkan dengan bersih.
Kemudian rebuskan dalam 3 cawan air.
Tunggu hingga barli kembang. Untuk aroma lebih wangi, letakkan sehelai dua daun pandan. Tambahkan air lagi jika perlu.
Tambahkan sedikit gula untuk menambah rasa manis.
Lebih elok jika diperasakan dengan madu atau sedikit lemon tanpa gula. Tetap sedap!

Walaupun barli selamat diminum ketika hamil atau menyusu, sebaiknya ambillah secara bersederhana saja.

Pastikan ibu tetap mengambil makanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup aktif ok!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *