BAYI BARU LAHIR KERAP MUNTAH SUSU? IBU BAPA WAJIB PERIKSA PERKARA INI SEBELUM BAWA KE PAKAR!

Masalah bayi muntah ini kerap terjadi kepada bayi berumur di bawah 6 bulan dan boleh berlaku samada bayi menyusu ibu atau susu formula. Jika terjadi kepada bayi yang menyusu ibu, ibu atau orang di sekelilingnya akan mengatakan susunya tidak sedap atau kurang khasiat, bayi tidak suka rasa susu ibu dan bayi kembung perut sebab ibu tersalah makan.
.
Segala mitos ini akan menyebabkan si ibu percaya lantas memberikan bayinya susu formula. Jika ini terjadi kepada bayi yang menyusu formula pula, mitos yang kerap berlegar dalam masyarakat ialah, susu tidak sesuai, alahan kepada susu formula jenama tertentu dan akhirnya kerap bertukar pelbagai jenama susu.
.
Sedangkan kajian menunjukkan lebih kurang 2/3 bayi di bawah 6 bulan  mengalami masalah sekurang-kurangnya sekali sehari. Kebanyakan masalah muntah sejak umur 1 minggu kelahiran dan 40 – 65 % bayi berumur 1-4 bulan disebabkan oleh Gastroesophageal Reflux (GER). Masalah GER ini akan semakin berkurangan sehingga bayi mencapai umur 6 bulan. Lebih kurang 96 % bayi yang mengalami GER ini akan sembuh sepenuhnya apabila mencapai umur setahun. (Anna Rybak, Int Journal Molecular ScienceAugust 2017, Czinn SJ et al. Paediatric Drugs 2013)

Apakah Gasteroesophageal reflux ini?

Di dalam perut manusia terdapat injap bahagian atas yang membuka laluan makanan daripada otot esofagus bawah (LES – lower esophageal sphincter) ke dalam perut (lihat gambarajah). Namun, di dalam bayi baru lahir, otot LES ini belum cukup kuat untuk menutup rapat selepas susu masuk dalam perut. Maka, makanan akan berpatah balik ke atas melalui esofagus dan bayi akan memuntahkan susu keluar.

Sekiranya bayi anda mengalami masalah muntah, perlu diteliti beberapa perkara yang membimbangkan dan perlu dibawa berjumpa pakar kanak-kanak.

1. Muntah yang tersangat kerap dan berhalaju tinggi setiap kali sejurus selepas atau semasa menyusu. Ini ditakuti bayi mempunyai masalah yang jarang berlaku iaitu Pyloric stenosis iaitu otot pylorus (injap perut bahagian bawah) yang tebal daripada normal.

2. Muntah yang menyebabkan kurang berat badan atau berat tidak naik secukupnya.

3. Jika bayi mempunyai tanda-tanda kurang air dalam darah (dehidrasi) seperti kurang membuang air besar dan kecil seperti normal dan kelihatan kulitnya kering dan bayi lemah dan tidak menangis seperti biasa.

4. Bayi tidak boleh membuang angin, perutnya kelihatan buncit dan lebih keras bila diurut, serta bayi menangis mengerang seperti sakit perut. Inimenandakan bayi mengalami usus tersumbat yang menyebabkannya muntah.

5. Bayi kerap terbatuk akibat tersedak / tercekik dengan susu yang berpatah balik ke dalam kerongkongnya. Kadang-kadang bayi boleh mendapat jangkitan paru-paru “aspiration pneumonia”.

Sekiranya bayi mengalami muntah disebabkan oleh GER tapi tiada tanda-tanda seperti di atas, maka anda tidak perlu panik. Ikuti langkah seperti di bawah:

• Susukan bayi anda dalam posisi kepala bayi lebih tinggi kedudukannya daripada perut samada menyusu ibu atau menggunakan botol. Berhenti sekejap pada separuh masa penyusuannya (bila lihat hisapannya kurang laju). Letak bayi ke dada ibu dalam kedudukan menegak seperti ingin sendawakannya sambal menepuk lembut belakangnya. Ini memberikan masa untuk susu itu turun ke dalam perut bayi mengikut tarikan graviti. Lakukan perkara ini dalam 1-2 minit sahaja dan sambung lagi penyusuannya sehingga bayi kenyang atau susunya habis. Jika perlu sendawakan, sekali lagi ulang meletakkan bayi ke dada ibu. Kemudian, jika bayi tertidur, letakkan bayi mengiring ke tepi (kiri atau kanan) dan elakkan meletak bayi terlentang dengan kepala sama paras dengan perutnya. Ini dapat mengelakkan bayi daripada termuntah dan tersedak (choking) dengan susu yang berpatah balik.

• Lakukan urutan perut bayi setiap kali bayi telah buang air besar atau kecil semasa menukar lampinnya. Urutan pusingan U daripada kanan bawah abdomen bayi, memusing U ke arah kiri bawah abdomen. Amalkan juga mengurut bayi di bahagian lain tubuh bayi jika selepas mandi dan boleh rujuk cara urutan ini dalam video pendidikan. Selepas mengurut, boleh lakukan gerakan kedua lutut serentak lipat ke perut untuk memberi tekanan agar bayi dapat membuang anginnya jika dia kembung (colic)

• Jika memakai barut, elakkan terlalu ketat.

• Elakkan meletakkan bayi dalam keadaan membongkok ke depan (posisi duduk) selepas menyusukan kerana ini akan memberi tekanan kepada perutnya sehingga muntah.

• Jika bayi tersedak susu, segera tiarapkan baby di tangan ibu / penjaga, tepuk lembut belakangnya untuk memastikan bayi tidak menjadi kebiruan (cyanosis) kerana kurang oksigen akibat saluran nafas tersumbat. Sedut hidungnya jika terdapat susu keluar melalui hidung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Need Help? Chat with us