loader image

KERAP BERAIR DAN BERTAHI MATA. 5 PERKARA IBU PERLU TAHU TENTANG ‘BLOCKED TEAR DUCT’

“Eh, dah kenapa mata baby ni asyik berair je yang sebelah ni. Semalam perasan jugak, tapi ingatkan dia alergi sekejap je tak ada apa. Tapi ni dah 2-3 hari pun tak hilang-hilang lagi. Ada tahi mata pulak lagi. Dia sakit mata ke?”

Bagi orang dewasa, biasanya simptom mata berair dan bertahi sebegini mungkin tanda nak kena sakit mata atau ketumbit. Tapi bagi bayi, sebenarnya hal ini adalah keadaan yang biasa berlaku. Menurut Medical News Today, 20% bayi dilahirkan dengan kondisi ini yang dikenali sebagai blocked tear duct (saluran air mata tersumbat)atau nasolacrimal obstruction.

Berikut adalah 5 perkara yang Mama dan Papa perlu tahu tentangnya

5 PERKARA IBU PERLU TAHU TENTANG ‘BLOCKED TEAR DUCT’

1. TANDA SALURAN AIR MATA TERSUMBAT PADA BAYI

Saluran air mata tersumbat atau blocked tear ducts boleh berlaku selepas beberapa hari atau selepas beberapa minggu bayi lahir.

Antara tanda-tandanya termasuklah:

Mata yang kerap berair (boleh berlaku pada sebelah mata atau kedua-dua belah mata) keadaan kelopak mata yang kelihatan bengkak atau kemerahan (bukan merah pada bahagian dalam mata) kelopak mata yang melekit tahi mata berwarna kekuningan

2. BAGAIMANA IA BOLEH BERLAKU

Menurut Dr Pravin Vasanthan menerusi DoktorBudak.com, terdapat salur-salur halus di bahagian tepi mata yang menyalurkan air mata ke dalam rongga hidung. Kadangkala, salur-salur ini tidak terbuka sepenuhnya atau tersumbat, terutamanya dalam kes bayi baru lahir. Ini kerana sistem penghasilan air mata bayi belum berkembang sepenuhnya.

Oleh itu, air mata akan berkumpul di dalam mata dan mata kelihatan berair. Apabila air mata tidak dapat mengalir seperti biasa, air yang bertadah ini boleh dijangkiti kuman, dan menyebabkan terbentuknya tahi mata.

3. ADAKAH IA MENYAKITKAN BAYI

Walaupun ia nampak kurang selesa dan mungkin menyakitkan, namun Mama dan Papa tak perlu risau. Ini kerana, bayi biasanya tidak terganggu dengan masalah ini selagi anda memastikan kebersihan mata mereka.

4. BOLEHKAH IA DIRAWAT

Dalam kebanyakan kes, iaitu hampir 90% bayi yang mengalami kondisi ini tidak memerlukan sebarang rawatan kerana ia akan hilang dan kembali normal dengan sendirinya.

Walaubagaimanapun, anda boleh melakukan beberapa perkara untuk membantu bayi berasa lebih selesa:

Bersihkan Dengan Kerap: Dengan menggunakan kain lembut atau kapas yang basah, lapkan bahagian kelopak mata yang melekit dan tahi mata hingga bersih. Lakukan 2-3 kali sehari atau lebih kerap sekiranya perlu.
Urut salur air mata. Salur-salur air mata terdapat di bawah kulit di tepi mata, sebelah hidung. Gunakan jari yang bersih, dan urut kulit di tepi mata dengan lembut. Urutkan perlahan-lahan bermula di penjuru mata dan menuju ke dalam, ke arah hidung. Lakukan sekurang-kurangnya enam kali sehari. Kaedah ini seringkali dapat membuka salur-salur air mata yang tersumbat. Tapi, pastikan anda melakukannya dengan berhati-hati.

5. BAGAIMANA JIKA MATA BAYI BERAIR & SUMBATAN TETAP TIDAK TERBUKA

Sukar untuk menganggarkan berapa lama sumbatan ini akan menghilang kerana setiap bayi mempunyai perkembangan yang berbeza. Secara umumnya, kebanyakan bayi yang mengalaminya akan kembali pulih setelah berusia 6 bulan.

Rawatan yang sesuai akan ditentukan bergantung pada keadaan bayi sama ada penggunaan ubat titis mata atau prosedur yang dinamakan probing. Probing ini jarang diperlukan dan ia dilakukan di hospital. Dalam proses tersebut, pakar mata akan memasukkan satu wayar halus untuk membuka saluran yang tersumbat.

JUMPA DOKTOR JIKA ADA YANG MEMBIMBANGKAN

Seandainya mata bayi masih berair dan keadaannya nampak semakin buruk atau membengkak, anda dinasihatkan agar berjumpa doktor bagi memastikan bayi tidak menghidapi sebarang jangkitan kuman pada selaput mata (conjunctivitis) atau masalah-masalah lain.

Pastikan juga anda mematuhi temujanji yang diberikan oleh doktor supaya keadaan bayi dapat sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *