loader image

Bolehkah COVID-19 Dipindahkan Kepada Bayi Menyusu & Dalam Kandungan?

Disebabkan wabak COVID-19 ini, tentunya golongan ibu mengandung adalah antara yang cukup risau tentang keadaan dirinya dan juga kandungan.

Malah persoalan yang sama juga mungkin berlegar-legar bagi ibu menyusu.

Ini kerana, waktu inkubasi COVID-19 mungkin menyebabkan seseorang tidak merasakan sebarang simptom sebelum disahkan positif.

Jadi, adakah bayi menyusu dan bayi dalam kandungan berisiko untuk mendapat jangkitan COVID-19 ini?

BOLEHKAH COVID19 DIPINDAHKAN KEPADA BAYI KETIKA MENGANDUNG?

Jawapan oleh Mohd Dziehan Mustapa (Team Medical Mythbuster Malaysia) :

Buat masa ini belum diketahui lagi sama ada COVID19 boleh memberi masalah kepada ibu mengandung mahupun memberi kesan terhadap bayi dalam kandungan.

Juga tidak diketahui sama ada ibu mengandung yang dijangkiti COVID19 boleh menyebabkan juga bayi dalam kandungannya dijangkiti virus yang sama.

Walau bagaimanapun baru-baru ini dinyatakan terdapat seorang bayi baru lahir di London yang disahkan dijangkiti COVID19.

Namun mereka juga tidak pasti sama ada jangkitan berlaku semasa dalam kandungan atau sebaik sahaja selepas kelahiran.

Untuk makluman ibu dalam kandungan ini memang dijangkiti COVID19. Beberapa hari sebelum bersalin, ibu tersebut telah dimasukkan ke hospital kerana gejala pneumonia dan diuji positif jangkitan COVID19.

Sekali lagi saya tegaskan bahawa, Doktor yang merawat masih tidak mengetahui sama ada jangkitan itu berlaku semasa dalam kandungan atau sebaik sahaja selepas kelahiran.

Ada satu lagi kajian yang dilakukan terhadap 9 orang wanita mengandung di Wuhan China yang dijangkiti COVID19 semasa di penghujung trimester ketiga.

Wanita-wanita ini menunjukkan gejala demam, selesema dan batuk. Semua melahirkan anak melalui C-Section.

Kemudian sampel air ketuban, darah daripada tali pusat dan susu ibu serta swap tekak bayi yang baru lahir juga diambil untuk dianalisa. Semua sampel ini diambil di dalam bilik pembendahan sebaik sahaja proses kelahiran berlaku.

Melalui keputusan analisa tersebut, tiada satu pun daripada semua jenis sample yang diambil adalah positif jangkitan virus COVID19.

Manakala semua ibu yang dijangkiti itu juga tidak alami masalah serius jangkitan sehingga menyebabkan penumonia.

Oleh itu, melalui ujian dengan kumpulan kecil ibu mengandung ini memberikan gambaran awal setakat ini tiada pembuktian bahawa berlaku jangkitan intrauterine (jangkitan yang dipindahkan oleh ibu kepada bayi) berlaku dalam ibu yang dijangkiti COVID19 semasa di trimester terakhir fasa mengandung.

SARANAN UNTUK IBU MENGANDUNG

Walaupun menerusi kajian ini pakar menyatakan tiada lagi pembuktian menunjukkan jangkitan boleh dipindahkan kepada bayi dalam kandungan, ibu mengandung perlu amalkan saranan KKM bagi mengelakan diri daripada dijangkiti COVID19 ini seperti :

– Kerap basuh tangan dengan sabun atau gunakan ‘Hand Sanitizer’ apabila berada di luar.
– Jarakkan diri 1m daripada orang yang bergejala (social distancing)
– Pakai face mask apabila berada di luar.
– Jauhkan dari daripada lokasi tempat awam atau kawasan yang sesak dengan masyarakat awam. Tak perlu pergi jangan pergi. Jika perlu pergi minta bantuan suami seperti ke pasaraya atau ke pasar awam.
– Elakkan melawat ke luar negara atau ke kawasan yang diketahui alami wabak COVID19 ini.

RISIKO COVID-19 PADA BAYI MENYUSU

Bagi ibu menyusu pula, Pusat Laktasi Kebangsaan KKM juga telah menjelaskan bahawa COVID-19 tidak menjangkiti melalui susu ibu.

Oleh itu, pihak mereka menyeru semua ibu di Malaysia untuk terus menyusukan bayi kerana ia memiliki pelbagai kelebihan.

Namun, antara langkah yang perlu dipatuhi termasuklah seperti berikut:

– Sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi
– Mendapatkam rawatan jika terdapat tanda jangkitan pernafasan seperti kesukaran bernafas, batuk, demam dll
– Mengamalkan etika batuk yang baik serta mengasingkan diri jika perlu kecuali pada waktu penyusuan
– Guna topeng muka semasa penyusuan dan cuci tangan dengan bersih jika ibu telah disahkan COVID-19
– Memberi susu oerahan jika ibu mengalami gejala COVID-19 yang teruk

Semoga perkongsian ini bermanfaat buat ibu-ibu semua. Sama-sama jaga diri dan famili.

Usah panik dan patuhi arahan KKM ya!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *