Apabila anak-anak semakin membesar, pastinya mereka ingin mempunyai ruang sendiri dan kita sebagai ibu dan ayah mungkin ‘lupa’ melakukan aktiviti untuk merapatkan hubungan. Peribahasa Melayu ada mengatakan, “sepakat membawa berkat.” Jika adanya permuafakatan di dalam sesebuah keluarga, pastinya akan ada rasa manisnya keberkatan itu.
Berikut adalah beberapa tips yang sangat sesuai untuk ‘mengikat’ kembali hubungan anak-ibubapa yang mungkin telah longgar.
1. Solat Berjemaah
Solat berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Ibu dan ayah boleh cuba untuk amalkan solat secara berjemaah. Ajak anak-anak untuk solat bersama. Ajar dan didik anak-anak tentang pentingnya solat berjemaah walau sesibuk mana pun kita. Selain dari mendapat pahala yang berkali ganda banyaknya, solat berjemaah dapat mengeratkan lagi hubungan suami-isteri dan anak, serta dapat menghindari daripada gangguan syaitan yang ingin memecahbelahkan rumah tangga anda.
2. Jadi Kawan Baik
Apabila anak-anak semakin membesar, kita terlalu fokus untuk memperbetulkan mereka hingga kita terlupa untuk menjadi ‘kawan baik’ mereka. Maka, jadilah kawan terbaik untuk anak-anak yang boleh mendengar keluh-kesah mereka walaupun ibu dan ayah tidak mengerti akan topik yang dibualkan itu. Cuba buka minda untuk fokus terhadap perbualannya dan memahami perasaannya ketika itu.
3. Saling Bermaafan Sebelum Tidur
Sebagai seorang isteri, menjadi satu kewajipan untuk sentiasa memohon maaf kepada suami jika telah melakukan kesilapan. Begitu juga dengan suami, haruslah menurunkan keegoan untuk memohon maaf kepada isteri atas perbuatan yang telah melukakan hatinya. Anak-anak juga tidak terkecuali. Mohon maaf pada anak-anak jika dalam hari itu ada terkasar dari segi perbuatan mahupun tutur kata. Tips ini bukan sahaja memberi impak positif kepada orang yang dimaafkan, tetapi juga pada yang memaafkan.
Ibu dan ayah boleh cuba lakukakn tips di atas ya. Sebenarnya tiada alasan kita terlalu sibuk dengan kehidupan seharian sehingga meninggalkan perkara-perkara kecil yang nampak remeh tapi besar impaknya. Sedangkan Rasulullah, seorang Nabi, pemerintah, suami dan ayah, masih mampu mengekalkan keharmonian rumah tangga dan meluangkan masa berkualiti untuk anak dan isteri. Jadi, apa pula alasan kita? Renungkan lah dan selamat beramal!