Banjir adalah bencana alam yang tidak dapat dielakkan apabila tibanya musim tengkujuh di negara kita. Bukan sahaja menjadi penyebab kemusnahan harta benda dan kematian, malah mencetuskan penularan penyakit berjangkit!
Ini adalah kerana banjir itu akan menyebabkan sampah-sarap dan takungan najis keluar bersama-sama limpahan air. Sampah-sarap dan sisa najis ini bercampur dengan air banjir yang berada di merata tempat. Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak sewaktu dan selepas banjir adalah:
1. Penyakit bawaan air dan makanan
Antara penyakit yang kerap berlaku adalah demam kepialu (tiphoid), taun, hepatitis A, jangkitan usus dan keracunan makanan. Gejala yang akan dialami adalah cirit-birit, muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala.
2. Leptospirosis
Berlaku disebabkan bakteria Leptospirosis yang wujud dalam air kencing haiwan mamalia seperti tikus, kucing, anjing dan lembu. Manusia boleh dijangkiti dengan penyakit ini jika terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air yang dicemari air kencing haiwan di atas. Gejalanya ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, ruam, jaundis dan sakit pada abdomen.
3. Demam denggi
Selepas banjir surut, banyak kawasan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Oleh itu, kita perlu memastikan persekitaran rumah bebas dari takungan air yang pastinya menjadi tumpuan nyamuk Aedes untuk membiak. Antara tanda demam denggi adalah demam mengejut dengan sakit kepala yang sangat teruk, sakit di belakang mata, sakit sendi, otot dan pinggang yang teruk.
Antara langkah keselamatan yang perlu diambil ialah:
1. Sentiasa patuhi arahan daripada pihak berkuasa semasa banjir berlaku.
2. Pindah segera ke pusat pemindahan apabila diarahkan.
3. Awasi anak-anak bermain air banjir.
4. Tutup semua suis utama elektrik, injap utama bekalan air dan gas sebelum meninggalkan rumah.
5. Pastikan air yang diminum bersih dan dimasak sempurna atau minum air yang dibotolkan.
6. Jaga kebersihan diri dan persekitaran, basuh tangan dengan sabun dan air bersih, gunakan tandas yang sempurna dan buang sampah di tempat yang betul.
7. Patuhi nasihat yang diberikan oleh petugas kesihatan.