Penatnya bila si manja mengalami cirit birit, ditambah dengan rasa kasihan melihat anak lemah tidak bermaya. Ibu dan ayah harus bertenang sekiranya berhadapan dengan situasi ini.
Menurut pandangan pengamal perubatan, masalah cirit birit di kalangan kanak-kanak harus diberikan perhatian yang lebih. Namun, ibu dan ayah perlu mengelakkan dari memberi ubat untuk menghentikan masalah ini, dan lebih fokus dalam memantau keadaan anak.
Kanak-kanak sebenarnya lebih kerap diserang cirit birit berbanding dengan orang dewasa. Badan kita mengalami cirit birit sebagai salah satu cara untuk membuang kuman atau toksin. Oleh itu, ubat-ubat untuk menghentikan cirit birit tidak boleh digunakan sama sekali!
Selagi kuman tidak dikeluarkan sepenuhnya, selagi itulah cirit birit akan berlaku. Ibu dan ayah tidak perlu cemas. Biarkan semuanya dikeluarkan. Akan tetapi, haruslah memantau keadaan mereka dari semasa ke semasa.
Disebabkan penyakit ini kebanyakannya akan pulih sendiri, terdapat perkara yang paling penting dalam merawat cirit birit, iaitu pengambilan air.
Apa yang perlu ibu dan ayah lakukan? Teruskan memberi makanan dan susu seperti biasa kepada si manja. Elakkan si manja dari mengalami dehidrasi melampau.
Jika si manja mengalami dehidrasi melampau, segeralah berjumpa dengan doktor bagi rawatan dan tindakan selanjutnya. Semoga perkongsian hari ini dapat membantu!