Sebagai ibu dan ayah, lazimnya kita dianugerahkan dengan sifat melindungi dan memenuhi kehendak si anak, lebih-lebih lagi anak yang masih kecil. Ini kerana kita menganggap mereka masih belum boleh berdikari dan menguruskan diri masing-masing.
Namun setiap anak harus dilengkapi dengan nilai-nilai supaya mereka belajar menjadi lebih berdikari dan mengawal emosi.
Walaupun mereka sudah boleh diajar sejak awal, namun karakter ini patut sudah mula terlihat sekitar usia 3-4 tahun. Pada usia ini, mereka sudah mula ada rasa tanggungjawab untuk menguruskan diri.
Tantrum adalah suatu tanda anak-anak tidak yakin dengan diri mereka. Mereka perlu diajar untuk bertenang dan memahami bahawa tidak semua kehendak boleh dipenuhi secepat mungkin. Jadi cuba periksa 3 tanda ini supaya anda boleh melatih disiplin mereka.
- Menangis sebagai senjata: Menghentak, menjerit, bercakap kasar dan menangis sekuat hati setiap kali memberitahu kemahuan mereka adalah sesuatu tindakan yang tidak boleh diterima. Ini mungkin menunjukkan bahawa mereka rasa kurang didengari.
- Suka ‘dirasuah’ untuk berkelakuan baik: Anda mungkin membiasakan mereka dengan memberi gula-gula atau coklat selepas melakukan sesuatu kerja seperti mengemas mainan. Perbuatan ini tidak salah, tetapi jangan jadikan ia perkara wajib supaya mereka memahami konsep mendengar arahan.
- Tidak suka menolong: Perasaan pentingkan diri adalah normal dalam diri anak kecil, tetapi ia juga tanda anak terlalu manja. Namun, semakin mereka bertambah usia, seharusnya mereka sudah mula memikirkan perasaan orang lain.