loader image

Menangani Anak Mengamuk, Ini Yang Boleh Ibu Dan Ayah Lakukan Segera!

Kebanyakan ibu dan ayah pasti pernah mengalami anak tantrum atau mengamuk tak tentu pasal kan? 

Tantrum ialah tempoh singkat berlakunya kemarahan secara tiba-tiba atau perlakuan yang kurang wajar seperti menangis, menjerit, memekik dan perlakuan fizikal seperti menendang atau memukul untuk menunjukkan ketidakpuasan hati.

Apakah yang ibu dan ayah boleh lakukan untuk menangani anak tantrum ini? Jom kita tengok beberapa panduan asas di bawah.

1. Bertenang

Jeritan anak mungkin membuatkan kita rasa marah, kecewa dan malu jika ianya berlaku di hadapan orang lain. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah kekal tenang. Ingat bahawa kita bukan sendirian dalam hal sebegitu, kerana perkara ini juga berlaku pada ibu dan ayah lain. Buat keputusan yang rasional untuk uruskan tantrum anak.

2. Jangan Peduli

Abaikan anak yang sedang menjerit, mengamuk dan memekik. Teruskan sahaja dengan apa yang ibu dan ayah sedang lakukan. Tapi, awasi mereka senyap-senyap untuk keselamatan mereka. Tidak dinafikan, memang sukar untuk tidak mengendahkannya terutama bila ada orang lain di sekeliling. Tetapi, ini sangatlah penting supaya anak itu dapat belajar bahawa dia tidak akan dapat perhatian dengan bertindak sedemikian.

3. Sentuhan dan Pujian

Bila anak sudah bertenang, berikan perhatian semula kepadanya. Pujian dan ganjaran sangat besar impaknya pada si kecil. Maka pujilah mereka atas kelakuan baiknya, dan peluklah mereka seeratnya dengan penuh kasih sayang. InsyaAllah si kecil akan kekal tenang dan terus berkelakuan baik. Sentiasa yakinkan mereka bahawa kita sangat menyayanginya dan hanya tantrum itu tidak dipersetujui.

Sesungguhnya, menangani tantrum ialah perkara biasa dalam proses membesarkan anak-anak. Bila mereka sudah semakin membesar, mereka akan belajar untuk mengawal perasaan, bekerjasama serta bersabar dengan sebarang kekecewaan atau rejection.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *